Tuesday, August 26, 2008

Wonder Pets

Kids - Wonder Pets...

Wonder Pets Theme Song (English)


Di satu petang, anak kedua saya, Dania (2 tahun 5 bulan) menyanyi dengan menjerit-jerit, “Apa yang penting? Kerjasama! Apa yang penting? Kerjasama!

Hemmm... yang seorang ini memang lain sikit perangainya. Saya tanya, “Adik nyanyi lagu apa tu?”

Dania jawap, “Wonder pets.”



Saya pernah menonton cerita kartun ‘Wonder Pets’ di TV3 (tak ingat pukul berapa siarannya), tetapi ia disiarkan dalam bahasa Inggeris. Menurut bibik, kalau di TV9 (siaran 2:30 petang), ‘Wonder Pets’ telah dialih-suara dalam bahasa Malaysia. Hem... Macamanalah agaknya kalau dah dialih-suara, ya? (agak ngeri juga, kalau suaranya macam cerita ‘Oshin’....)

‘Wonder Pets’ mengisahkan anak hamster, anak itik dan anak kura-kura sebagai adalah karakter utama yang sungguh comel bertindak sebagai penyelamat kepada binatang-binatang lain di waktu kecemasan.

Petang Isnin semalam (25/08/2008), saya berkesempatan menonton kartun ini. Al-kisahnya bibik tak balik dari Kg Baru, sejak petang Ahad, jadi terpaksalah saya cuti kecemasan. Dalam kesempatan cuti, sempatlah saya menonton rancangan kegemaran anak-anak, kedua-duanya di TV3 dan TV9.

Mula-mula dengar kartun cakap Melayu, kelakar juga rasanya. Tapi melihatkan anak-anak terpegun menontonnya tanpa berkelip mata, membuatkan saya tertanya-tanya, apakah yang menarik tentang kartun ini.

Telefon, telefon berbunyi....
Telefon kami datang....
Telefon, telepon ber
bunyi
Ada haiwan dalam bahaya 3x
Di sana

Wonder Pets, Wonder Pets
Kami datang
Membantu kawan yang kesusahan


Lenny, Tuck dan Ming Ming juga
Wonder Pets datang membantu
Kami tak besar, dan kami tak kuat
Bila bekerjasama, semua jadi mudah

Apa yang penting? Kerjasama! Apa yang penting? Kerjasama!
Wonder Pets! Wonder Pets!
Hey…Wonder Pets!!

Yey!!

Itulah lirik lagu ‘Wonder Pets’ (lebih kurang), Anak-anak juga pulun menyanyi, walaupun ada beberapa patah perkataannya tidak sempurna. Iramanya seronokkan? Tapi yang menariknya, konsep utama dalam setiap siri ialah penekanan terhadap kerjasama di antara ahli kumpulan dalam setiap misi mereka untuk menyelamatkan anak-anak haiwan lain.

Apa yang penting? Kerjasama! Apa yang penting? Kerjasama!

Mudah-mudahan ada pengajaran pada mereka....

Friday, August 22, 2008

Kari hijau siakap



Salah satu masakan Thailand yang unik adalah kari hijau. Malah, masyarakat Siam juga mencipta kari merah yang menggunakan pelbagai rempah ratus dan dedaun herba. Kari hijau harum baunya kerana menggunakan beberapa jenis dedaun seperti daun ketumbar dan daun limau purut. Malah, jika mudah didapati, daun selasih juga menjadi ramuan istimewa untuk kari ini.

Jika membuat kari biasa, ia menggunakan rempah yang sudah sedia dalam bentuk serbuk. Tetapi, membuat kari hijau amat berbeza. Anda perlu memulakan langkah membuat bumbunya terlebih dulu. Ketumbar dan jintan manis hendaklah disangai atau digoreng tanpa minyak di atas api perlahan. Pastikan anda mengacaunya selalu.

Bila keharuman rempah terserlah, angkat dari api dan terus masukkan ke dalam lesung batu. Tumbuk hingga halus ketika rempah masih panas. Ini akan memudahkan aroma meresap ke dalamnya. Selain itu, rempah juga akan hancur dengan mudah.

Ketumbar dapat melancarkan pencernaan makanan. Ia juga berguna untuk meredakan pening kepala, muntah-muntah, selesema, radang payu dara, campak, masuk angin, tekanan darah tinggi dan lemak syahwat. Jadi, ketumbar memang mempunyai banyak khasiat dari segi amalan perubatan tradisional.

Salah satu bahagian ketumbar yang digunakan juga adalah akarnya. Ambil bahagian putihnya sahaja. Buangkan bahagian akar yang halus dan berjurai-jurai.

Kemudian cuci bersih dan potong halus. Kisar dengan semua bahan lain sehingga halus.

Selain siakap, kari hijau juga boleh dibuat dengan ayam, daging, ketam dan sebagainya. Sebaik-baiknya hendaklah 'mematikan' air ayam atau daging sebelum meletakkan santan. Berbeza dengan ikan, ayam dan daging hendaklah dimasak terlebih dahulu.

Caranya adalah dengan menumis bahan rempah. Sebaik saja rempah wangi, masukkan santan cair. Kemudian kacau tanpa henti. Jika tidak, santan akan pecah minyak dan ini menyebabkan kari tidak cantik lagi. Santan cair diperoleh daripada perahan kedua atau ketiga. Manakala santan pekat daripada perahan pertama.

Jika menggunakan santan di dalam kotak, sebiji kelapa bersamaan dengan 200 mililiter. Asingkan 100 mililiter sebagai santan pekat. Campurkan 100 mililiter lagi dengan air biasa bagi mendapatkan santan cair. Jika inginkan kari yang lebih pekat, anda boleh tambah sukatan santan menjadi satu setengah biji atau masukkan dua atau tiga buah keras ke dalam bahan yang perlu dikisar halus.

Beberapa pilihan bahan lain untuk dicampur sekali ke dalam kari hijau adalah terung pipit atau terung telunjuk. Jika tiada, anda boleh gunakan terung panjang atau jenis bulat. Dengan adanya terung, kari akan lebih sempurna selain melengkapkan hidangan. Ia umpama meletakkan ubi kentang ke dalam kari daging berempah.

Kari hijau tidak menggunakan asam gelugur atau asam keping. Sebaliknya, anda perlu memasukkan jus limau kasturi sebaik saja memadamkan api. Ini untuk mengelakkan jus tersebut memecahkan santan atau membuat ia kelihatan berketul-ketul. Jika suka lebih masam, boleh tambahkan jus limau nipis.

Seandainya anda memasukkan belimbing buluh ke dalam kari ini, tidak perlu menambah jus limau kasturi kerana belimbing sudah masam. Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai alahan pada jus limau, masih boleh menggunakan asam gelugur.

Masakan bersantan hendaklah dikacau selalu supaya ia masak dengan sempurna. Api janganlah terlalu kuat. Bila memasak kari hijau, pastikan juga anda menambah sedikit gula. Ini bagi mengimbangi rasa masam dan pedas. Meskipun bahan kari hijau nampak banyak, memasaknya amatlah mudah. Rasanya yang sedap juga akan menjadikan ia kegemaran keluarga.

Sekiranya anda ingin menjimatkan masa, sediakan bumbu dalam jumlah yang banyak. Kemudian tumis hingga wangi. Padamkan api dan biar bumbu sejuk. Selepas itu, simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk. Anda boleh gunakan bumbu atau rempah ini pada bila-bila masa saja dan masaklah seperti biasa.

Friday, August 15, 2008

Tomyam




MASAKAN Thai ini begitu sinonim di kedai yang menyajikan pelbagai hidangan Siam. Ada dua versi yang ketara iaitu tomyam berkuah merah (dengan pes cili) dan berkuah putih (tanpa pes cili). Jadi, terpulanglah pada cita rasa masing-masing. Hakikatnya, rasa tomyam tidak jauh berbeza. Tomyam yang paling enak mempunyai rasa yang seimbang dari segi pedas, masam, manis dan masinnya.

Bagi anda yang kesuntukan masa, tentulah akan menggunakan stok kiub tomyam yang memang mudah diperoleh. Namun, ada juga pes tomyam dijual di dalam botol atau paket. Pengguna beragama Islam mesti peka terhadap bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam pes tomyam ini. Lazimnya, ada yang tidak halal walaupun ia adalah asli kerana diperbuat oleh orang-orang Siam sendiri.

Ada juga tomyam menggunakan santan. Santan dimasukkan ke dalam kuahnya sejurus sebelum diangkat. Anda tidak perlu didihkan ia selepas itu. Gunakan pati santan supaya tomyam menjadi lemak dan menyelerakan. Bagi yang ingin pedas, tambahkan lebih banyak cili padi. Cili padi hendaklah diketuk atau dititik supaya kepedasannya lebih terasa. Jika tidak suka terlalu pedas, memadai meletakkan cili padi begitu saja.

Selain ayam, boleh juga ditambah sotong atau udang. Jika menggunakan daging, pastikan anda telah merebusnya terlebih dulu hingga empuk. Ini akan menjimatkan masa memasak. Makanan laut pula hendaklah dimasukkan ke dalam kuahnya beberapa minit sebelum memadamkan api. Ini untuk mengelakkan isi udang atau sotong menjadi liat seandainya dimasak terlalu lama.

Herba seperti serai dan lengkuas hendaklah dititik atau diketuk dengan anak lesung supaya keharumannya terbit. Tidak perlu ditumbuk atau dicincang kerana ia tidak diperlukan sebagai perencah, memadai untuk baunya. Daun limau purut pula tidak perlu terlalu banyak kerana ia mungkin membuat kuah tomyam pahit.

Sekiranya menggunakan pes cili, eloklah digunakan cili kering. Kadangkala pes cili atau cili boh yang dibeli itu mengandungi bahan pengawet yang tidak bagus untuk kesihatan. Selalu asingkan biji cili kering sebelum direndam di dalam air panas. Kemudian kisar hingga halus. Campurkan dengan garam dan simpan di dalam bekas bertutup yang kedap udara. Letak bekas di dalam peti sejuk.

Untuk menjimatkan masa, kisar cili bersama bawang merah dan bawang putih. Anda boleh gunakan perencah ini untuk membuat sambal tumis, nasi goreng, mi goreng, asam pedas (tambah sedikit belacan semasa menumis) dan juga menumis sayur-sayuran seperti kacang botor, kangkung, bendi dan lain-lain.

Sos ikan amat penting dalam sebarang masakan Thai. Ia juga dikenali dengan sos sotong. Sekiranya sukar untuk mendapatkannya, boleh digantikan dengan kicap cair. Walaupun keaslian tomyam hilang kerana tiada rasa ikan atau sotong, anda masih boleh menikmati tomyam tersebut.

Tomyam adalah sajian yang sesuai untuk anda yang berdiet. Ini kerana ia tidak mengandungi sebarang minyak atau lemak.

Jadi, buangkan kulit ayam bila hendak digunakan. Kurangkan juga kolestrol dalam udang dan sotong dengan menggantikannya dengan isi ikan. Atau sediakan tomyam yang mengandungi sayur-sayuran sahaja seperti kubis, bunga kubis, lobak merah, putik jagung dan lain-lain. Salderi dikatakan boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

Friday, August 1, 2008

Shepherd's pie

Shepherd's pie adalah salah satu hidangan wajib dalam keluarga orang Inggeris terutama pada waktu makan malam.


Ingin mengubah selera? Selain daripada Fish-n-Chips, Steak atau Lamb Chops, apa kata kita cuba pula Shepherd's Pie (Pai Gembala).

Inilah salah satu hidangan wajib dalam keluarga orang Inggeris terutama pada waktu makan malam. Ia bukan saja berkhasiat tetapi juga merupakan makanan lengkap sekiranya dihidangkan dengan salad campuran.

Yang dimaksudkan dengan salad campuran adalah pelbagai jenis dedaun salad yang siap dijual dalam bekas plastik. Anda hanya perlu bersihkan, kemudian lap kering. Satukan minyak sawit, zaitun atau jagung, jus lemon, gula dan garam. Kemudian gaulkan dengan salad tadi. Boleh tambah hirisan tomato dan bawang besar. Nah, salad anda sudah siap!

Jika hendak dihidangkan untuk tetamu, eloklah dibuat dalam bekas atau mangkuk pai yang kecil. Ini memudahkan tetamu makan. Mereka boleh ambil seorang satu. Ini adalah kerana pai jenis ini mempunyai lapisan bawah berdaging yang tidak mampat serta mempunyai banyak sos. Bila menyuap pai ini, pastikan ambil kedua-dua lapisan sekali. Keenakannya akan lebih terasa.

Ada dua langkah utama untuk membuat Shepherd's Pie. Lapisan bawah atau lauknya berasaskan daging yang dikisar atau dicincang halus. Elakkan daripada membeli ayam yang dikisar kerana ia seringkali mempunyai campuran kulit dan mempunyai banyak lemak. Lebih baik beli bahagian dada dan kisar sendiri.

Jika herba segar mudah dibeli, gunakan ia supaya rasa pai lebih istimewa dan harum. Bagi setiap satu camca teh herba kering, gunakan dua camca teh herba segar. Herba yang lazim adalah oregano dan dill. Jika anda menggunakan daging kambing, pilih herba rosemary. Manakala ayam lebih sesuai dengan basil. Jadi, terpulanglah pada cita rasa masing-masing.

Untuk menjimatkan masa, anda boleh gantikan cili Benggala, lobak dan saderi dengan sayuran campur. Oleh kerana pai ini adalah masakan Barat, lebih sesuai menggunakan bawang besar berkulit putih (jenis Belanda). Bawang besar berkulit merah (jenis Bombay) sesuai untuk masakan berempah kerana ia lebih 'pedas'. Jadi, penggunaan bawang juga amat penting bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

Perlu diingat bahawa lapisan bawah hendaklah pekat. Jika terlalu berair, ia akan meresap ke bahagian atas pai. Ini berlaku juga sekiranya lapisan kentang atas terlalu nipis kerana anda menggunakan bekas yang terlalu besar. Jadi, pilih mangkuk kaca tahan panas atau kaserol yang sesuai.

Anda juga boleh menggunakan bekas pai yang diperbuat daripada kertas aluminium yang boleh dibuang selepas menggunakannya. Ia datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ini menjimatkan ruang terutama jika dapur anda tidak mempunyai ruang penyimpanan yang besar. Atau orang bujang yang hanya sesekali memasak!

Sekiranya bahagian berdaging masih banyak kuahnya, pekatkan dengan campuran tepung jagung serta air. Kemudian terus ratakan dalam bekas. Bila memilih kentang untuk lapisan atas, pastikan jenis Red Russet atau sebarang jenis yang isinya empuk serta gebu. Selalunya kentang begini lebih sedap dan mudah mesra dengan campuran lain seperti mentega, keju dan susu.

Bagi anda yang kreatif, isikan kentang lecek di dalam beg aising. Kemudian picitkan ke atas lapisan daging. Dengan cara ini, lapisan atas akan kelihatan lebih menarik. Bagi yang ingin menjimatkan masa, memadai meloreknya dengan garpu. Mentega dan keju akan memberikan warna keperangan pada permukaan pai.

Jika ada gril, anda boleh perangkan permukaan pai itu selama beberapa minit. Bahagian berkeju akan membentuk kerak yang begitu sedap sekali bila anda mengunyahnya. Jadi, cubalah masakan yang unik dan penuh khasiat ini!