Friday, August 15, 2008

Tomyam




MASAKAN Thai ini begitu sinonim di kedai yang menyajikan pelbagai hidangan Siam. Ada dua versi yang ketara iaitu tomyam berkuah merah (dengan pes cili) dan berkuah putih (tanpa pes cili). Jadi, terpulanglah pada cita rasa masing-masing. Hakikatnya, rasa tomyam tidak jauh berbeza. Tomyam yang paling enak mempunyai rasa yang seimbang dari segi pedas, masam, manis dan masinnya.

Bagi anda yang kesuntukan masa, tentulah akan menggunakan stok kiub tomyam yang memang mudah diperoleh. Namun, ada juga pes tomyam dijual di dalam botol atau paket. Pengguna beragama Islam mesti peka terhadap bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam pes tomyam ini. Lazimnya, ada yang tidak halal walaupun ia adalah asli kerana diperbuat oleh orang-orang Siam sendiri.

Ada juga tomyam menggunakan santan. Santan dimasukkan ke dalam kuahnya sejurus sebelum diangkat. Anda tidak perlu didihkan ia selepas itu. Gunakan pati santan supaya tomyam menjadi lemak dan menyelerakan. Bagi yang ingin pedas, tambahkan lebih banyak cili padi. Cili padi hendaklah diketuk atau dititik supaya kepedasannya lebih terasa. Jika tidak suka terlalu pedas, memadai meletakkan cili padi begitu saja.

Selain ayam, boleh juga ditambah sotong atau udang. Jika menggunakan daging, pastikan anda telah merebusnya terlebih dulu hingga empuk. Ini akan menjimatkan masa memasak. Makanan laut pula hendaklah dimasukkan ke dalam kuahnya beberapa minit sebelum memadamkan api. Ini untuk mengelakkan isi udang atau sotong menjadi liat seandainya dimasak terlalu lama.

Herba seperti serai dan lengkuas hendaklah dititik atau diketuk dengan anak lesung supaya keharumannya terbit. Tidak perlu ditumbuk atau dicincang kerana ia tidak diperlukan sebagai perencah, memadai untuk baunya. Daun limau purut pula tidak perlu terlalu banyak kerana ia mungkin membuat kuah tomyam pahit.

Sekiranya menggunakan pes cili, eloklah digunakan cili kering. Kadangkala pes cili atau cili boh yang dibeli itu mengandungi bahan pengawet yang tidak bagus untuk kesihatan. Selalu asingkan biji cili kering sebelum direndam di dalam air panas. Kemudian kisar hingga halus. Campurkan dengan garam dan simpan di dalam bekas bertutup yang kedap udara. Letak bekas di dalam peti sejuk.

Untuk menjimatkan masa, kisar cili bersama bawang merah dan bawang putih. Anda boleh gunakan perencah ini untuk membuat sambal tumis, nasi goreng, mi goreng, asam pedas (tambah sedikit belacan semasa menumis) dan juga menumis sayur-sayuran seperti kacang botor, kangkung, bendi dan lain-lain.

Sos ikan amat penting dalam sebarang masakan Thai. Ia juga dikenali dengan sos sotong. Sekiranya sukar untuk mendapatkannya, boleh digantikan dengan kicap cair. Walaupun keaslian tomyam hilang kerana tiada rasa ikan atau sotong, anda masih boleh menikmati tomyam tersebut.

Tomyam adalah sajian yang sesuai untuk anda yang berdiet. Ini kerana ia tidak mengandungi sebarang minyak atau lemak.

Jadi, buangkan kulit ayam bila hendak digunakan. Kurangkan juga kolestrol dalam udang dan sotong dengan menggantikannya dengan isi ikan. Atau sediakan tomyam yang mengandungi sayur-sayuran sahaja seperti kubis, bunga kubis, lobak merah, putik jagung dan lain-lain. Salderi dikatakan boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

No comments: