Friday, August 22, 2008

Kari hijau siakap



Salah satu masakan Thailand yang unik adalah kari hijau. Malah, masyarakat Siam juga mencipta kari merah yang menggunakan pelbagai rempah ratus dan dedaun herba. Kari hijau harum baunya kerana menggunakan beberapa jenis dedaun seperti daun ketumbar dan daun limau purut. Malah, jika mudah didapati, daun selasih juga menjadi ramuan istimewa untuk kari ini.

Jika membuat kari biasa, ia menggunakan rempah yang sudah sedia dalam bentuk serbuk. Tetapi, membuat kari hijau amat berbeza. Anda perlu memulakan langkah membuat bumbunya terlebih dulu. Ketumbar dan jintan manis hendaklah disangai atau digoreng tanpa minyak di atas api perlahan. Pastikan anda mengacaunya selalu.

Bila keharuman rempah terserlah, angkat dari api dan terus masukkan ke dalam lesung batu. Tumbuk hingga halus ketika rempah masih panas. Ini akan memudahkan aroma meresap ke dalamnya. Selain itu, rempah juga akan hancur dengan mudah.

Ketumbar dapat melancarkan pencernaan makanan. Ia juga berguna untuk meredakan pening kepala, muntah-muntah, selesema, radang payu dara, campak, masuk angin, tekanan darah tinggi dan lemak syahwat. Jadi, ketumbar memang mempunyai banyak khasiat dari segi amalan perubatan tradisional.

Salah satu bahagian ketumbar yang digunakan juga adalah akarnya. Ambil bahagian putihnya sahaja. Buangkan bahagian akar yang halus dan berjurai-jurai.

Kemudian cuci bersih dan potong halus. Kisar dengan semua bahan lain sehingga halus.

Selain siakap, kari hijau juga boleh dibuat dengan ayam, daging, ketam dan sebagainya. Sebaik-baiknya hendaklah 'mematikan' air ayam atau daging sebelum meletakkan santan. Berbeza dengan ikan, ayam dan daging hendaklah dimasak terlebih dahulu.

Caranya adalah dengan menumis bahan rempah. Sebaik saja rempah wangi, masukkan santan cair. Kemudian kacau tanpa henti. Jika tidak, santan akan pecah minyak dan ini menyebabkan kari tidak cantik lagi. Santan cair diperoleh daripada perahan kedua atau ketiga. Manakala santan pekat daripada perahan pertama.

Jika menggunakan santan di dalam kotak, sebiji kelapa bersamaan dengan 200 mililiter. Asingkan 100 mililiter sebagai santan pekat. Campurkan 100 mililiter lagi dengan air biasa bagi mendapatkan santan cair. Jika inginkan kari yang lebih pekat, anda boleh tambah sukatan santan menjadi satu setengah biji atau masukkan dua atau tiga buah keras ke dalam bahan yang perlu dikisar halus.

Beberapa pilihan bahan lain untuk dicampur sekali ke dalam kari hijau adalah terung pipit atau terung telunjuk. Jika tiada, anda boleh gunakan terung panjang atau jenis bulat. Dengan adanya terung, kari akan lebih sempurna selain melengkapkan hidangan. Ia umpama meletakkan ubi kentang ke dalam kari daging berempah.

Kari hijau tidak menggunakan asam gelugur atau asam keping. Sebaliknya, anda perlu memasukkan jus limau kasturi sebaik saja memadamkan api. Ini untuk mengelakkan jus tersebut memecahkan santan atau membuat ia kelihatan berketul-ketul. Jika suka lebih masam, boleh tambahkan jus limau nipis.

Seandainya anda memasukkan belimbing buluh ke dalam kari ini, tidak perlu menambah jus limau kasturi kerana belimbing sudah masam. Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai alahan pada jus limau, masih boleh menggunakan asam gelugur.

Masakan bersantan hendaklah dikacau selalu supaya ia masak dengan sempurna. Api janganlah terlalu kuat. Bila memasak kari hijau, pastikan juga anda menambah sedikit gula. Ini bagi mengimbangi rasa masam dan pedas. Meskipun bahan kari hijau nampak banyak, memasaknya amatlah mudah. Rasanya yang sedap juga akan menjadikan ia kegemaran keluarga.

Sekiranya anda ingin menjimatkan masa, sediakan bumbu dalam jumlah yang banyak. Kemudian tumis hingga wangi. Padamkan api dan biar bumbu sejuk. Selepas itu, simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk. Anda boleh gunakan bumbu atau rempah ini pada bila-bila masa saja dan masaklah seperti biasa.

No comments: