Ingin mengubah selera? Selain daripada Fish-n-Chips, Steak atau Lamb Chops, apa kata kita cuba pula Shepherd's Pie (Pai Gembala).
Inilah salah satu hidangan wajib dalam keluarga orang Inggeris terutama pada waktu makan malam. Ia bukan saja berkhasiat tetapi juga merupakan makanan lengkap sekiranya dihidangkan dengan salad campuran.
Yang dimaksudkan dengan salad campuran adalah pelbagai jenis dedaun salad yang siap dijual dalam bekas plastik. Anda hanya perlu bersihkan, kemudian lap kering. Satukan minyak sawit, zaitun atau jagung, jus lemon, gula dan garam. Kemudian gaulkan dengan salad tadi. Boleh tambah hirisan tomato dan bawang besar. Nah, salad anda sudah siap!
Jika hendak dihidangkan untuk tetamu, eloklah dibuat dalam bekas atau mangkuk pai yang kecil. Ini memudahkan tetamu makan. Mereka boleh ambil seorang satu. Ini adalah kerana pai jenis ini mempunyai lapisan bawah berdaging yang tidak mampat serta mempunyai banyak sos. Bila menyuap pai ini, pastikan ambil kedua-dua lapisan sekali. Keenakannya akan lebih terasa.
Ada dua langkah utama untuk membuat Shepherd's Pie. Lapisan bawah atau lauknya berasaskan daging yang dikisar atau dicincang halus. Elakkan daripada membeli ayam yang dikisar kerana ia seringkali mempunyai campuran kulit dan mempunyai banyak lemak. Lebih baik beli bahagian dada dan kisar sendiri.
Jika herba segar mudah dibeli, gunakan ia supaya rasa pai lebih istimewa dan harum. Bagi setiap satu camca teh herba kering, gunakan dua camca teh herba segar. Herba yang lazim adalah oregano dan dill. Jika anda menggunakan daging kambing, pilih herba rosemary. Manakala ayam lebih sesuai dengan basil. Jadi, terpulanglah pada cita rasa masing-masing.
Untuk menjimatkan masa, anda boleh gantikan cili Benggala, lobak dan saderi dengan sayuran campur. Oleh kerana pai ini adalah masakan Barat, lebih sesuai menggunakan bawang besar berkulit putih (jenis Belanda). Bawang besar berkulit merah (jenis Bombay) sesuai untuk masakan berempah kerana ia lebih 'pedas'. Jadi, penggunaan bawang juga amat penting bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.
Perlu diingat bahawa lapisan bawah hendaklah pekat. Jika terlalu berair, ia akan meresap ke bahagian atas pai. Ini berlaku juga sekiranya lapisan kentang atas terlalu nipis kerana anda menggunakan bekas yang terlalu besar. Jadi, pilih mangkuk kaca tahan panas atau kaserol yang sesuai.
Anda juga boleh menggunakan bekas pai yang diperbuat daripada kertas aluminium yang boleh dibuang selepas menggunakannya. Ia datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ini menjimatkan ruang terutama jika dapur anda tidak mempunyai ruang penyimpanan yang besar. Atau orang bujang yang hanya sesekali memasak!
Sekiranya bahagian berdaging masih banyak kuahnya, pekatkan dengan campuran tepung jagung serta air. Kemudian terus ratakan dalam bekas. Bila memilih kentang untuk lapisan atas, pastikan jenis Red Russet atau sebarang jenis yang isinya empuk serta gebu. Selalunya kentang begini lebih sedap dan mudah mesra dengan campuran lain seperti mentega, keju dan susu.
Bagi anda yang kreatif, isikan kentang lecek di dalam beg aising. Kemudian picitkan ke atas lapisan daging. Dengan cara ini, lapisan atas akan kelihatan lebih menarik. Bagi yang ingin menjimatkan masa, memadai meloreknya dengan garpu. Mentega dan keju akan memberikan warna keperangan pada permukaan pai.
Jika ada gril, anda boleh perangkan permukaan pai itu selama beberapa minit. Bahagian berkeju akan membentuk kerak yang begitu sedap sekali bila anda mengunyahnya. Jadi, cubalah masakan yang unik dan penuh khasiat ini!
No comments:
Post a Comment